cross

loading...

Thursday, 14 July 2016

RM44,000 Sebulan Untuk Jaga Rambut

Paris – Media sosial Perancis heboh mengenai rambut presiden negara itu, Francois Hollande selepas laporan mendakwa pemimpin itu berbelanja besar setiap bulan untuk menggaji seorang tukang gunting yang berkhidmat sepanjang 24 jam sehari untuk memastikan rambutnya sentiasa kemas.

Akhbar satira Le Canard Enchaine mencetuskan kehebohan itu dengan laporan bahawa pemimpin berusia 61 tahun itu membayar hampir 10,000 euro (RM43,000) sebulan untuk merapikan rambutnya.

Dakwaan itu kemudian disahkan kerajaan.

“Setiap orang menggunting rambut. Tukang gunting ini terpaksa meninggalkan kedainya dan dia berkhidmat sepanjang 24 jam sehari untuk Hollande,” kata jurucakap kerajaan, Stephane Le Foll.

Le Foll mengesahkan laporan bahawa tukang gunting Hollande dibayar 10,000 euro sebulan.

Dia bagaimanapun menegaskan, bajet operasi Istana Elysee, tempat penginapan rasmi Presiden Perancis berkurang antara 15 dan 20 peratus selepas Hollande mengambil alih jawatan daripada Nicolas Zarkozy pada 2012.

Pengguna Twitter kemudian mengambil kesempatan meminda gambar Hollande dengan menunjukkan pelbagai gaya rambutnya, termasuk rambut seperti Ratu Elizabeth, punk dan bekas pemain Paris Saint-Germain, Zlatan Ibrahimovic. – Agensi/myMetro Online

No comments:

Post a Comment